Teman Yang Dikasihi

Wednesday, November 30, 2011

Akhawati uhibbukunna fillah



Bismillahirrahmanirrahim....

Moga Allah redha... insyAllah...
sebulan di rumah... cuti semester berlalu... rindu sungguh pada sahabat2 tersayang, adik2 tercinta... moga kalian sihat sejahtera... rindu ini sungguh! kerana ikatan ukhwah kita keranaNya yg Esa... sungguh murni ikatan fillah ini... mushtaq alaik jiddan!! hadiah dariku untuk antunna semua yg di hati... 


syg antunna jiddan!!


Bila senja nan merah mula menyembunyikan sinarnya di ufuk barat sana,

Hati ini masih tenteram kerana kasih kita tidak akan kelam sinarnya,

Jiwa ini seakan-akan menyanyikan zikrullah dengan sendiri,

Kerana hati ni mengenali alat muziknya, 

kenal akan peliriknya... 
kenal akhwati

Diri ini akur pada ketentuan Illahi, 

pada pertemuan yang tidak pasti,

Bagaimana harus diharap, 


sedangkan syukur pada yang ada belum mampu terukir,

Saban hari mengenang akan perjuangan yang menagih pengorbanan,

Namun tetap teguh saff ini kerana dikuatkan dengan nikmat Iman...


Ya Rahman, 

basahilah hati ini dengan keikhlasan cintaku kepadaMu,

Agar air mata yang mengalir darinya adalah pelincir langkahku di siratMu,

Lindungilah cinta kami ya Rabbi, 


kerana cinta ini adalah dariMu untukMu,

Bangkitkanlah kami, 

dirikanlah kami, 
temuikanlah kami bersama para mujahidahMu...

ukhwah fillah ya sodiqoti


nota kaki : ayuh sahabat, adik solehah syg... kita saling mendoakan..sungguh indah kan?

Tuesday, November 29, 2011

TangisanQu UntukMu Rabbi..

Bismillahirrahmanirrahim.... pembuka kalam bicara, meratib pada asma' yg Esa...

:::>> sambungan daripada puisi air mata, PERMATA... <<:::


Bangun dan sujud pada tengah malam adalah amalan Rasulullah serta para sahabat. 

Saidina Abu Bakar al-Siddiq adalah seorang sahabat Rasulullah SAW yang amat penyedih. Apabila beliau membaca ayat Allah, air matanya tidak dapat dibendung. Hatinya begitu lembut, sensitif dan cepat tersentuh. 

Saidina Umar pula suka mengingatkan dirinya terhadap hari perhitungan. Ketakutan sentiasa menguasai hatinya. Wajahnya diguris bekas aliran tangisan yang terus-menerus mengalir mengingat hari perjumpaan dengan Allah kelak. 

Ketika dalam keadaan sakit tenat yang membawa kepada kematiannya, beliau berkata, kepada anaknya Abdullah bin Umar: "Letakkan pipiku di atas tanah." Abdullah melarang dengan lembut sambil berkata: "Wahai ayah, bukankah itu akan membuatmu semakin sakit?" Umar berkata lagi: "Aku tidak peduli, letakkan aku di atas tanah, celakalah aku jika Tuhanku tidak merahmati aku!" 

Tangisan adalah ubat bagi hati yang keras. Ia mendatangkan cahaya dan membersih daripada kekotoran dosa, manakala berlebihan tertawa dan bersenda gurau membawa kepada kelalaian, mengeraskan hati dan mengeruhkan kesuciannya. 


Rasulullah SAW suatu ketika bertemu sahabat yang tertawa sambil bergurau. Baginda SAW bersabda maksudnya: "Jika kamu semua mengetahui seperti apa yang aku ketahui, nescaya kamu akan banyak menangis dan sedikit tertawa." 

Ada beberapa alasan mengapa orang beriman perlu menangisi dirinya. 

a) Dia tidak tahu qada dan qadar atas dirinya. 


Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Sesungguhnya kamu dikumpulkan kejadiannya dalam perut ibu 40 hari air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama 40 hari lagi, kemudian menjadi seketul daging selama 40 hari, kemudian diutuskan kepadanya malaikat lalu ditiupkan roh kepadanya dan dituliskan empat kalimah iaitu rezekinya, umurnya, amalnya, celakanya atau bahagianya. Maka, demi Allah yang tidak ada Tuhan selain-Nya, sesungguhnya seseorang mengerjakan amal ahli syurga sehingga tidak ada jarak antaranya dengan syurga itu melainkan sehasta, kemudian terdahulu atasnya ketentuan tulisan lalu ia pun mengerjakan amal ahli neraka maka masuklah ia ke dalamnya. Dan seseorang mengerjakan amal ahli neraka sehingga tidak ada jarak di antaranya dengan neraka kecuali sehasta. Kemudian terdahulu atasnya ketentuan tulisan lalu dia pun mengerjakan amalan ahli syurga maka masuklah dia ke dalamnya." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim). 

Siapakah yang boleh menjamin nama kita termasuk dalam senarai ahli syurga? Tidakkah hal itu petanda bahawa kita tidak berkuasa menolong diri sendiri? Letakkanlah diri kita sentiasa dalam keadaan cemas, takut dan harap kepada Allah. Caranya dengan banyak menangis dan 
memohon pertolongan-Nya. 

b) Menangislah kerana ingat terhadap malam pertama di alam kubur. 


Siapakah yang menjadi teman untuk seorang pengantin yang memakai helaian kafan? Ditinggalkan sendirian menanggung nasib, meratapi kepergian orang yang menghantar ke kuburnya. Jangan pergi! Mana anakku, isteri dan saudara mara yang dulu mengasihiku? Semua hartaku, siapa yang menghabiskan segala jerih payahku selama ini? Lubang itu terlalu sempit, tempat cacing dan ulat menggigit-gigit. 

Malam pertama di sini sungguh berat ditanggung sendiri. Ada malaikat yang datang membawa urusan amat penting. Persoalan yang bukan senda gurau kekasih pada malam pengantin. Bahkan, gertakan yang mengecutkan hati dan kekerasan yang memadamkan kegembiraan. 

Siapakah yang mahu menolong aku, menemani dan membela diriku? Di mana sembahyang, puasa, haji dan sedekahku? Datanglah selimuti aku daripada kepedihan seksa ini. Di mana bacaan al-Quran, zikir dan kelembutan lidah yang pernah mengeluarkan kata-kata yang baik? 

Datanglah semua segala kebaikanku dari atas kepala, di sebelah tangan, di kaki, di seluruh tubuh badan yang kaku dan pucat ini. 

Siapakah yang sanggup membela jika bukan amal soleh di dunia. Mayat itu menangis di perut bumi, menyesal mengapa dulu ia tidak menangis ketika bersimpuh di atas bumi? 

c) Menangis kerana ingatkan hari perhitungan. 


Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Orang yang muflis di kalangan umatku ialah: Seseorang yang datang pada hari kiamat dengan pahala sembahyang, puasa dan zakat. Tetapi, dia pernah mencaci si polan, menuduh si polan, menumpah darah si polan dan memukul si polan. Maka akan diberikan kepada orang yang teraniaya itu daripada pahala kebaikan orang tadi sehingga apabila habis pahalanya, sedangkan belum semua terbayar, maka akan diambil ganti dari dosa orang itu dan dibebankan kepadanya dan dia dicampakkan ke dalam neraka kerananya." (Riwayat Muslim dari Abu Hurairah) 

Ingatlah keaiban diri yang terlalu banyak untuk dihitung, jangan sibuk menyebut aib orang lain. Semua orang di sekeliling kita tidak dapat menolong kecuali amal ibadat yang dilakukan dengan keikhlasan. 

Bilakah saat dan ketika paling tepat untuk kita menangis supaya lembut hati yang keras oleh hawa nafsu yang dituruti? Pada tengah malam yang dingin, bangun dan berdiri tanpa diketahui oleh manusia yang asyik bermimpi, sujud dan doa yang panjang, bacaan al-Quran dan 
zikrullah juga istighfar. 

Amalan ini menjadi kebiasaan Rasulullah SAW dan sahabatnya serta menjadi ikutan orang soleh yang mahukan ketenangan jiwa pada akhir zaman ini. Ubati kegelisahan, tekanan dan kesakitan jiwa dengan menangis, solat dan zikrullah. 



nota kaki : ya Allah....sangat2 rugi hambaMu ini, sukar  benar mengalirkan air mata keinsafan... tetapi amat mudah mengalirkan air mata kekecewaan... sungguh!!  hina diri ini di hadapanMu Rabbi 

Air Mata, PERMATA


Bismillahirrahmanirrahim.... ku serah segala hanya padaMu rabbi...


Dalam tangis ada bahagia

Dalam tawa ada derita
Dalam dingin air mata
Ada rahmat dari Yang Esa

Dalam samar di malam hari
Dalam syahdu di kala sunyi
Rinduku tak tertahan lagi
Air mata tertumpah lagi

Kugenggam tangan di dalam hati
Penuh pasrah pada Illahi

Oh Tuhan tolonglah
Sambutlah tanganku ini
Tiada lagi yang kupinta
Selain Rahmat dalam redhaMu
Agar nanti air mata jadi permata

nota kaki : akan ada sambungan dari puisi ini, TANGISANQU UNTUKMU RABBI

Pagar Diri Dari Sihir dan Ilmu Hitam


Bismillahirrahmanirrahim...

Moga rahmatNya melimpahi seluruh hambaNya..

Di bawah ini di nyatakan cara cara atau amalan yang boleh di lakukan untuk memagar diri anda dari perbuatan jahat tukang sihir atau pengamal ilmu hitam.Sihir mungkin tidak mengenal siapa anda.Ia boleh menyerang anda. Ketahuilah cara memagari diri anda dari sihir dan gangguan syaitan.
Berlindung diriku hanya padaMu ya Rabb.. kekuasaanMu meliputi seluruh langit dan bumi. tiada apa selain dariMu punya kekuasaan pada sesuatu.


Pagar Pertama (1) - Makan Tamar 'Ajwah dan Tamar Madinah
Amalkan memakan tamar (kurma) 'Ajwah dan jika boleh makan bersama dengan Tamar Madinah. Sekiranya anda tidak boleh mendapatkan kedua-dua jenis tamar tersebut, makanlah apa-apa jenis tamar yang ada supaya menepati sabda Rasulullah S.A.W. yang berbunyi: "Barangsiapa yang memakan tujuh biji tamar 'Ajwah, dia tidak akan mendapat sebarang kemudaratan racun atau sihir yang terkena pada hari itu".(Riwayat al Bukhari.)

Pagar Kedua (2) - Berwuduk sebelum tidur
Sihir tidak akan memberi sebarang kesan terhadap seseorang muslim yang mempunyai wuduk. Setiap muslim yang berwuduk akan sentiasa dikawal ketat oleh para Malaikat sebagaimana diperintahkan oleh Allah S.W.T kepada mereka.

Sabda Rasulullah S.A.W: Ertinya: "Sucikanlah jasad-jasad ini mudah-mudahan Allah akan menyucikan kamu. Kerana sesungguhnya tiada seorang pun dari mereka yang bersuci terlebih dahulu sebelum tidur, melainkan ada bersamanya seorang Malaikat. Malaikat tersebut tidak akan pernah terlalai walaupun sedetik untuk mengucapkan doa: 'Ya Allah!Ampunilah dosa hambaMu ini kerana dia telah tidur dalam keadaan bersuci.'(Riwayat at Tabraaniy dgn sanad yang baik.)

Pagar Ketiga (3) - Mengambil berat tentang solat berjemaah

Mengambil berat tentang solat berjemaah akan menjadikan seseorang muslim bebas serta aman dari gangguan syaitan. Bersikap sambil lewa terhadap solat berjemaah menyebabkan syaitan akan mengambil peluang untuk mendampingi mereka. Apabila selalu berdampingan, lama kelamaan ia akan berjaya merasuk, menyihir atau melakukan kejahatan lain.

Mengikut riwayat Abu Hurairah r.a., Rasulullah S.A.W.telah bersabda:Ertinya: 'Mana-mana kampung mahupun kawasan kawasan hulu yang tidak mendirikan solat berjemaah meskipun penduduknya cuma tiga orang, nescaya akan didampingi oleh syaitan. Oleh itu hendaklah dirikan solat berjemaah.Sesungguhnya serigala akan memakan kambing-kambing yang menyendiri dari puaknya.(Riwayat Abu Daud dengan sanad yang baik).

Pagar Keempat (4) - Mendirikan Solat Tahajjud utk memagarkan diri dari sihir
Bangunlah mengerjakan solat malam dan janganlah mempermudah-mudahkannya.Sifat mempermudah-mudahkan bangun bersolat malam boleh memberi ruang kepada syaitan untuk menguasai diri seseorang itu.Apabila syaitan telah mampu menguasai diri seseorang, maka dirinya adalah tak ubah seperti bumi yang ketandusan akibat kesan tindakbalas hasil perlakuan syaitan tersebut.

Ibnu Mas'ud r.a. telah berkata: Rasulullah S.A.W. pernah diberitahu tentang perihal seorang lelaki yang tidur hingga ke Subuh dengan tidak mengerjakan solat malam, maka Rasulullah S.A.W. pun bersabda:Ertinya: "Sesungguhnya syaitan telah kencing di dalam telinganya"(Riwayat al Bukhari dan Muslim).

Pagar Kelima (5) - Membaca doa perlindungan apabila masuk di dalam tandas

Tandas adalah tempat kotor dan merupakan rumah bagi syaitan. Oleh itu ia akan mencuba sedaya upaya menggunakan kesempatan yang ada untuk menguasai seseorang muslim setiap kali orang itu masuk ketandas. Di dalam sebuah buku seorang mangsa sihir telah melaporkan bahawa dia pernah memasuki tandas dengan tidak membaca doa perlindungan. Seketika kemudian dia telah dirasuk oleh syaitan.

Apabila Rasulullah S.A.W mahu memasuki tandas, baginda akan membaca doa perlindungan dengan berkata: Ertinya: "Dengan nama Allah. Ya Allah!Sesungguhnya aku berlindung denganMu dari sebarang kekotoran dan gangguan syaitan".

Riwayat al Bukhari dan Muslim. Maksudnya adalah berlindung dari gangguan syaitan-syaitan jantan atau betina.

Pagar Keenam (6) - Memagar isteri selepas selesai akad nikah

Selepas majlis akad nikah, pada malam pengantin sebelum memulakan adab-adab berpengantin yang lain, hendaklah suami meletakkan tangan kanannya di atas ubun-ubun kepala isterinya sambil berdoa:
"Ya Allah, aku memohon kepadaMu kebaikannya dan kebaikan yang telah Engkau selubungi ke atasnya,dan aku berlindung dari keburukannya dan keburukan yang telah Engkau selubungi ke atasnya. Ya Allah berkatilah isteriku ini ke atasku dan lindungilah dirinya dari segala keburukan perbuatan orang-orang yang dengki, dan perbuatan tukang sihir apabila dia telah melakukan sihir dan dan perbuatan orang-orang yang suka melakukan tipu daya."(Riwayat Abu Daud dan menurut al Albaaniy sanadnya baik).

Pagar Ketujuh (7) - Berwuduk sebelum tidur, membaca ayat-ayat al Kursi dan berzikir kepada Allah sehingga terlelap. Dalam satu hadis sahih telah menceritakan bahawa syaitan telah berkata kepada Abu Hurairah: "Barangsiapa yang membaca ayat-ayat al Kursi sebelum tidur,dirinya sentiasa di dalam peliharaan Allah manakala syaitan sekali-kali tidak mampu mendekatinya sehinggalah ke waktu pagi''.
ayuh kita sama-sama amalkan...moga lbh dekat pada Illah...dan terpelihara dari sebarang anasir jahat.



Carilah rusukmu yang hilang


Bismillahirrahmanirrahim... pemula kata yg indah dgn asma' Allah...

bakal zaujiQu, pemilik cintaQu setelah Allah dan Rasul....
ku yakin dirimu menantiQu...
entah dimana...dan bila... tidak ku pasti...
akan ku perkemas CINTA dalam hati...hanya ku berikan padamu yg HAQ! -AM-

salahkah cinta? cinta itu fitrah...
salahkah berkasih? kasih itu juga tida berdosa...
salahkah menyayangi? sayang itu suci..


Jangankan lelaki biasa, Nabi pun terasa sunyi tanpa wanita. Tanpa mereka, hati, fikiran dan perasaan lelaki akan resah. Masih mencari walaupun sudah ada segala-galanya. Apa lagi  yang tidak ada di syurga, namun Nabi Adam a.s tetap rindukan Siti Hawa.

Kepada wanitalah lelaki memanggil ibu, isteri atau puteri. Dijadikan mereka dari tulang rusuk yang bengkok untuk diluruskan oleh lelaki. Tetapi kalau lelaki sendiri yang tak lurus, tak mungkin mampu nak meluruskan mereka. Tak logik kayu yang bengkok menghasilkan bayang-bayang yang lurus. Luruskanlah wanita dengan cara yang ditunjuk Allah, kerana mereka dicipta sebegitu rupa oleh Allah. Didiklah mereka dengan panduan dari-Nya. Jangan cuba jinakkan mereka dengan harta, nanti mereka semakin liar. Jangan hiburkan mereka dengan kecantikan, nanti mereka semakin menderita.Yang sementara itu tidak akan menyelesaikan masalah. Kenalkan mereka kepada zat Allah yang kekal, di situlah suisnya.

 Akal setipis rambutnya, tebalkan dengan ilmu. Hati serapuh kaca, kuatkan dengan iman. Perasaan selembut sutera, hiasilah dengan akhlak. Suburkanlah kerana dari situlah nanti mereka akan nampak nilaian dan keadilan Tuhan. Akan terhibur dan bahagialah hati mereka, walaupun tidak jadi ratu cantik dunia, presiden ataupun perdana menteri negara atau 'women gladiator'. Bisikkan ke telinga mereka bahawa kelembutan bukan suatu kelemahan. Itu bukan diskriminasi Tuhan. Sebaliknya di situlah kasih sayang Tuhan, kerana rahim wanita yang lembut itulah yang  mengandungkan lelaki-lelaki waja : negarawan, karyawan, jutawan dan "wan-wan" yang lain. Tidak akan lahir 'superman' tanpa 'superwoman'.

Wanita yang lupa hakikat kejadiannya, pasti tidak terhibur dan tidak menghiburkan. Tanpa ilmu, iman dan akhlak, mereka bukan sahaja tidak boleh diluruskan, bahkan mereka pula membengkokkan. Lebih ramai lelaki yang dirosakkan oleh perempuan  
daripada perempuan yang dirosakkan oleh lelaki. Sebodoh-bodoh perempuan pun boleh menundukkan sepandai-pandai lelaki. Itulah akibatnya apabila wanita tidak kenal Tuhan. Mereka tidak akan kenal diri mereka sendiri, apalagi mengenal lelaki. Kini bukan saja ramai boss telah kehilangan 'secretary', bahkan anak pun akan kehilangan ibu, suami kehilangan isteri dan bapa akan kehilangan puteri.

Bila wanita derhaka dunia lelaki akan huru-hara . Bila tulang rusuk patah, maka rosaklah jantung, hati dan limpa. Para lelaki pula jangan hanya mengharap ketaatan tetapi binalah kepimpinan. Pastikan sebelum memimpin wanita menuju Allah pimpinlah diri sendiri dahulu kepada-Nya. Jinakkan diri dengan Allah, nescaya akan jinaklah segala-galanya di bawah  pimpinan kita.

Jangan mengharap isteri seperti Siti Fatimah, kalau peribadi belum lagi seperti Saidina Ali.

Sunday, November 13, 2011

Fikih Akhlak : Kata Ibarat Pedang yg Bisa Membunuh

Bismillahirrahmanirrahim......


kali ini AM merangka tentang sesuatu yg sering kita lakukan.. PERCAKAPAN atau PERGAULAN. Sedar atau tidak, tika kita ralit bercakap, memberi hujah dalam perdebatan, memberi idea dalam perbicaraan, memberi nasihat dalam kekeliruaan atau memberi teguran tika ada kekhilafan...tiap kata itu MUNGKIN pernah menyakiti hati orang lain. NAUZUBILLAHIMINZALIK'.... dosa dengan Maha Pencipta, masih boleh untuk bertaubat dan memohon maghfirahNya. tetapi dosa sesama manusia...bagaimana cara untuk menebusnya, selain memohon kemaafan.




Allah S.W.T. menjadikan manusia amat istimewa dan berbeza dengan makhluk-Nya yang lain. Antara keistimewaannya yang paling utama ialah Allah S.W.T.menciptakan akal untuk manusia berfikir dan lidah untuk berbicara. Justeru, lidah menjadi jurubicara menyampaikan apa yang terasa dalam hati dan terlintas dalam fikiran manusia.

Keupayaan berbicara merupakan nikmat Allah yang begitu besar kepada seseorang manusia. Manusia perlu menggunakan lidahnya untuk membicara perkara-perkara yang berfaedah. Antaranya membaca ayat-ayat suci al-quran, hadith-hadith Rasulullah s.a.w., pandangan para ulama', intelektual dan sebagainya seterusnya menyampaikannya kepada orang lain. Pesanan Rasulullah s.a.w. agar menyampaikan mesej Baginda walaupun satu ayat merupakan penegasan tentang betapa pentingnya kita perlu berbicara. Ia merupakan salah satu wasilah paling berkesan untuk menyampaikan mesej dakwah Islam.

Firman Allah S.W.T.:

Maksudnya:
Allah Yang Maha Pemurah, yang telah mengajarkan al-Qur'an. Allah menciptakan manusia,mengajarnya berbicara (menerangkan sesuatu cetusan daripada fikiran dan perasaannya).'
(Surah ar-Rahman : 1-4)

Justeru, nikmat kebolehan berbicara ini wajib dihargai, disyukuri dan digunakan dengan sebaik-baiknya mengikut landasan syarak. Islam menggariskan tatacara terbaik untuk menggunakan lidah yang sentiasa mengungkaikan kalimah-kalimah agar setiap butiran bicara tersebut mendapat, keredhaan Allah.



Adab pergaulan

Berbicara dengan orang perseorangan atau awam sama ada secara langsung atau melalui tulisan, media cetak mahupun elektronik dan lain-lain mempunyai tatacara dan adab yang tertentu. Setiap perbicaraan yang keluar daripada seseorang menunjukkan apa yang ada dalam fikirannya serta perangainya. Berbicara sesuatu yang perlu dan menghindari perbicaraan yang tidak berfaedah merupakan ibadah yang besar pahalanya. Sabda Rasulullah s.a.w.:

Maksudnya:
Daripada kebaikan iman seseorang ialah meniggalkan apa yang tidak bermakna bagiya.'
(Hadith Riwayat at-Tirmidzi)

Orang yang tidak memperkatakan sesuatu yang tidak berfaedah baginya merupakan tanda kejayaan hidupnya sebagai seorang mukmin.

Allah S.W.T. berfirman:

Maksudnya:
'Sesungguhnya telah berjaya orang yang beriman iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya, orang yang menjauhkan diri daripada perbicaraan yang tidak berguna.'
(Surah al-Mukminun : 1-3)

Abdullah ibnu Abbas r.a. mengatakan: 'Ada lima perkara yang lebih baik bagi mereka daripada kuda liar yang dibiarkan diam.

Pertama: Janganlah engkau berbicara tentang sesuatu yang tidak mengenai dirimu kerana hal itu merupakan perbicaraan yang tidak perlu dan aku tidak menjamin engkau akan selamat daripada dosa.

Kedua: Janganlah engkau berbicara tentang sesuatu sebelum engkau mengetahui saatnya yang tepat sebab mungkin orang berbicara tentang sesuatu yang penting baginya tetapi kerana dilakukan tidak tepat pada waktunya boleh menimbulkan hal-hal yang memalukan.

Ketiqa: Janganlah engkau berdebat dengan orang yang sabar atau bijaksana dan juga dengan orang yang berperangai buruk sebab orang yang sabar tidak akan menghiraukan dirimu manakala orang yang berperangai buruk akan menyakiti hatimu.

Keempat: Ceritakanlah kepada saudaramu yang tidak hadir tentang apa yang engkau sendiri ingin dia ceritakan kepadamu dan maafkanlah dia seperti engkau sendiri ingin dimaafkan olehnya.

Kelima: Buatlah seperti orang yang benar-benar sedar bahawa perbuatan itu akan mendatangkan kebajikan dan tidak akan mendatangkan dosa atau kesalahan. (Ibnu Abi Dunya).

Oleh itu kita harus menguasai lidah kerana seseorang itu boleh terjerumus ke lembah yang hina disebabkan lidahnya yang tidak terkawal. Orang yang berbicara tanpa kawalan akan kehilangan arah. Atas keprihatinan ini, Islam menggariskan tatacara dan adab berbicara agar umatnya sentiasa berada dalam lingkungan keredhaan Allah.



Pertuturan Dalam Pergaulan

Tuturkata yang dikeluarkan oleh seseorang dapat mengukur sejauhmana kemahiran, pengetahuan, buah fikiran,sopan santun, budi pekerti, pemarah, kasar, sombong atau kerendahan hatinya. Oleh itu, sewajarnya setiap insan memelihara lidahnya dan hendaklah berbicara menurut pertimbangan akal yang waras. bercakap benar, sopan santun, lembut dan lunak supaya sedap didengar dan elakkan daripada mengeluarkan kata-kata kotor.

Dalam kehidupan kita seharian, wadah pergaulan yang digunakan dapat dibahagikan kepada beberapa keadaan. Umpamanya melalui perbualan, penulisan atau perdebatan.

Sebagai manusia, kita mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat tentang apa sahaja sama ada dalam percakapan, penulisan ataupun perdebatan. Walaubagaimanapun, ia mestilah tidak menimbulkan rasa marah, tidak puas hati, saling menyalahkan, menghina,memaki hamun, mencaci, mengeluarkan kata-kata kotor,mengutuk, menyumpah, mengaibkan dan sebagainya hingga menyinggung perasaan orang lain apatah lagi saudara kita sesama Islam. Ini kerana ia boleh merenggangkan hubungan silaturrahim, menimbulkan rasa marah, rasa benci. permusuhan dan jika keterlaluan mungkin menimbulkan kekacauan dan perbalahan.

Dalam hal ini bijak bistari pernah berpesan, 'berfikir itu pelita hati'. Pepatah Melayu pula mengatakan, 'kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa'. Jika direnung, kedua-duanya memberikan pengertian yang begitu mendalam untuk kita jadikan panduan supaya sentiasa menjaga kesopanan dalam percakapan seharian.

Oleh itu, bagi mengelakkan berlakunya sebarang perselisihan dan suasana yang tidak menyenangkan maka kita perlulah berwaspada dan berhati-hati sebelum berkata. Ibarat kata pepatah,'mulut kamu adalah harimau kamu.'Terdapat banyak ayat al-gur'an dan hadith Rasulullah s.a.w yang memberi peringatan dan panduan tentang adab dalam percakapan. Antaranya Firman Allah S.W.T.maksudnya: Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah membuat contoh ucapan yang baik(mengajak berbuat baik, menjauhi perbuatan salah) seperti sebatang pohon yang baik (subur) akar kuat (terjunam ke dalam tanah) dan cabangnya(menjulang tinggi) ke langit. Pohon itu berbuah terus dengan izin tuhannya. Allah menjadikan contoh-contoh itu untuk manusia supaya mereka ingat selalu. Dan contoh perkataan yang buruk (seperti memfitnah, berdusta, mengajak berbuat mungkar dan lain-lain) seperti pohon yang busuk [mati] yang tercabut akar-akarnya dari permukaan bumi tidak tegak berdiri lagi.
(Surah Ibrahim: 24-26)

Maksudnya:

'Wahai orang yang beriman Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka;dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain,(kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah sesetengah kamu menyatakan ke’aiban sesetengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik,)maka amatlah buruknya sebutan nama fasik(kepada seseorang) sesudah ia beriman,Dan(ingatlah) sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang yang zalim

(Surah al-Hujurat:11)

Maksudnya:
'Wahai orang yang beriman! Janganlah kebanyakan daripada sangkaan(supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang, dan janganlah sesetengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat)sudah tentu kamu jijik kepadanya. (patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah;sesungguhnya Allah Penerima taubat,lagi Maha Mengasihani.'
(Surah al-Hujurat:12)

Allah Ta'ala berfirman lagi:

Maksudnya:

Dan orang yang menyakiti orang mukmin,lelaki atau perempuan, tanpa adanya sesuatu yang mereka lakukan, maka orang yang menyakiti itu menanggung kebohongan dan dosa yang nyata.'

(Surah al-Ahzab : 58)

Maksudnya:
Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-hamba-Ku (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang yang menentang kebenaran); sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menghasut antara mereka (Yang mukmin dan yang menentang); sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia.'
(Surah al-Israa':53)

Maksudnya:
'Pergilah, kamu berdua kepada Fir'aun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah lembut,semoga ia beringat atau takut.'
(Surah Taha: 43-44)

Manakala sabda Rasulullah s.a.w pula:


Maksudnya:
'Perbuatan memaki hamun seorang mukmin merupakan perkara fasiq dan perbuatan memeranginya hukumnya kufur'
(Riwayat al-Bukhari)

Maksudnya:

Dari Abu Hurairah r.a., bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: Kedua-dua orang yang saling maki-memaki itu dosanya adalah atas orang yang memulai antara kedua-dua orang itu, sehingga yang dianiaya melanggar melebihi batas apa yang dikatakan oleh orang yang memulai tadi'
(Riwayat Muslim)

Maksudnya:
Seseorang mukmin bukan seseorang yang suka mencaci atau suka melaknat orang lain dan ia juga tidak bersifat jahat disamping ia tidak bersifat buruk.'
(Riwayat al Tirmidzi)

Maksudnya:
Dari Abu Zar r.a.,bahawasanya ia mendengar Rasulullah bersabda: Tidakkah seorang melemparkan kefasikan atau kekufuran kepada orang lain,melainkan akan kembalilah kefasikan atau kekufuran itu pada dirinya sendiri, jikalau yang dikatakan sedemikian itu bukan yang memiliki sifat tersebut.
(Riwayat al-Bukhari)

Maksudnya:
Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Tidak sewajarnya bagi orang yang jujur itu suka mengutuk.'
(Riwayat Muslim)

Maksudnya:
Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Cukuplah keburukan seseorang dengan menghinakan saudaranya yang muslim.'
(Riwayat Muslim)

Maksudnya:
Daripada Jundub bin Abdullah r.a., katanya;Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Ada seorang lelaki berkata: 'Demi Allah, Allah tidak akan memberikan pengampunan kepada si Fulan itu.' Allah azzawajalla lalu bersabda:'Siapakah yang berani menyumpah-nyumpah atas nama-Ku bahawa Aku tidak akan mengampuni si Fulan itu, sesungguhnya Aku telah mengampuni orang itu dan Aku menghapuskan pahala amalanmu yakni yang bersumpah tadi.'
(Riwayat Muslim)

Maksudnya:
Sesungguhnya saya diutus Allah tidak menjadi pengutuk, tetapi hanyalah menjadi rahmat.'
(Riwayat Muslim)

Abu Darda' menceritakan bahawa ia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:


Maksudnya: 'Sesungguhnya orang pengutuk tidak boleh menjadi saksi dan memberi pertolongan (bagi saudara-saudaranya) pada Hari Kiamat.'
(Riwayat Muslim)

Maksudnya:
Janganlah banyak bicara, jika tidak mengenai zikir Allah, maka sesungguhnya banyak bicara tanpa zikir Allah itu menjadikan hati pembicaranya kesat. Sesungguhnya orang yang paling jauh dari Allah pada hari Kiamat ialah orang yang kesat hati.'
(Riwayat at-Tirmidzi)


Maksudnya:
'Bersumber dari Abu Darda' r.a., ia berkata:Rasulullah s.a.w bersabda 'Sesungguhnya bila ada seseorang mengutuk sesuatu maka kutukan itu naik ke langit tetapi pintu~pintu langit itu ditutup tidak mahu menerima kutukan tersebut,kemudian kutukan itu turun ke bumi tetapi pintu-pintu bumi itu ditutup tidak mahu menerima kutukan tersebut, kemudian kutukan itu lari ke kanan dan ke kiri; apabila kutukan itu tidak mendapat tempat maka ia mencari orang yang dikutuknya,apabila orang itu patut mendapat kutukan maka ia kembali kepada orang yang mengucapkan kutukan tersebut.'
(Riwayat Abu Daud)

Maksudnya:
'Peliharalah lidahmu, kecuali tentang hal yang lebih baik, kerana sesungguhnya engkau dengan begitu telah mengalahkan syaitan!'
(Riwayat at-Tabarani)

Maksudnya:
Sesiapa yang menunjukkan kepada hal yang lebih baik maka bagaikan orang yang melakukannya dan sesiapa yang menunjukkan kepada yang lebih jahat maka ia bagaikan orang yang melakukannya.'
(Riwayat at-Tirmidzi)

Maksudnya:
Orang mukmin tidak suka mengutuk-ngutuk.'
(Riwayat at-Tirmidzi)

Maksudnya: 'Janganlah kamu mengutuk orang yang sudah meninggal dunia nanti kamu akan menyakiti orang yang masih hidup dengannya.'



sahabat...moga kita dpt menjaga tutur kata bersama, jauh dari menyakiti sesiapa. ikuti contoh Rasulullah, BERDAKWAHLAH dengan punya sifat MAHMUDAH, BERBICARALAH dengan penuh HIKMAH, jauhi dari murka Allah.



Wednesday, November 2, 2011

November kembali semula...

Bismillahirrahmanirrahim...

hari ini, 3 November 2011..., tarikh terakhir untuk diri ini menduduki peperiksaan final.. Alhamdulillah, diberi kemudahan untuk menjawab, berkat doa ibu dan ayah tercinta sebenarnya.. akan ku raih kejayaan untuk yg tersayang.. ayah dan ibu ku..

setelah habis menjawab kertas terakhir, sosiologi islam.. terus bergegas balik ke asrama untuk berkemas. menanti kehadiran ibu dan ayah datang menjemput pulang. perjalanan balik, meraikan hari lahirku... hari dimana kiraan umur makin bertambah.. pada genap 4 November, dirai awal sehari bersama tersayang.

ku titip puisi khas untukmu ibu dan ayah.. (^_*)

Alhamdulillah... Alhamdulillah.. Alhamdulillah ya Allah...

genap ke angka 19

ingat tika itu,
saat kelahiran di nanti ayah bonda tercinta,
menanti si putri idaman melihat dunia,
dengan harapan menjadi bunga yang terpelihara,

moga si putri,
punya akhlak mahmudah memagari diri,
menjaga maruah muslimah sejati,
ihya' sebagai benteng pertahanan kendiri,

bonda dan ayahanda tercinta,
telah kau beri daku ilmu agama,
sebagai panduan mengemudi bahtera,
agar tidak tenggelam di hanyut mehnah melanda....

terima kasih kerana melahirkan daku dengan sempurna,
memberi pelajaran mendidik jiwa,
dalam membina sahsiah diri seorang hamba....
berbangga dilahirkan dalam keadaan punya agama,
islam yang satu, berpaksikan keimanan pada yg Esa...

umur meningkat bukan mainan,
ibu dan ayah punya harapan,
melihat diri terus dalam kemajuan,
meniti cita di persada impian

umur ini satu amanah dari Maha Pencipta,
jangan pula sekali di persia percuma,
kerana masa tidak dapat di undur semula,
moga terisi dengan segala amalan yang mendidik jiwa,

Alhamdulillah ya Rabb...

titipan khas,
Adhwa' Mahbubah
3/11/2011, 2:16pm