Teman Yang Dikasihi

Saturday, January 14, 2012

Ya Habiballah... SUBUH!

Bismillahirrahmanirrahim..


pemula bicara dgn asma' yg Esa. moga Rahmah dan Barakah mengiringi gerak langkahQu ini. Amin ya Rabb...


ya Allah, thabitkan langkahku dlm bermujahadah. sgt sukar jln itu, penuh liku. moga ada kekuatan yg tersisa.


pesanan ini bukan sahaja utk antum semua. tp khusus utk diri ana sendiri. 


___________________________________________________________




 Air mata Subuh berlinang
Pada pagi itu, seperti mana pagi-pagi yang lain aku menyambut seorang tetamu tetapku. Assalamualaikum, seru Subuh. Waalaikumussalam, sahutku. Dan kami terus berpelukan, tanda rindu serta kasih sayang. Kutanya khabar Subuh, bagaimana keadaannya mengembara dari suatu tempat ke satu tempat. Tadi, kata Subuh dengan sayu. Aku baru sahaja melintasi satu tempat. Kucari tempat persinggahan, kuketuk rumah-rumah yang sunyi, tapi satu pun tiada yang mahu menerimaku sebagai tetamu. Dan, air mata subuh pun berlinang.

Subuh melirikkan sebuah senyuman
Subuh, usah pedulikan mereka. Bukankah aku menyambutmu dengan penuh rasa kegembiraan? Subuh mengangkat mukanya seolah teringat sesuatu. Oh ya, tadi aku lalu di suatu tempat yang tanahnya di sebalik sungai. Orang-orangnya sepertimu, menyambutku dengan penuh kesukaan., menjamuku dengan pelbagai hidangan yang lazat dan menggiurkan. Hidangan yang paling ku sukai ialah buah Tahajjud, puas ku cari di bumi lain, tapi jarang ku jumpai. Di situ aku meratah buah Tahajjud dengan puas serta leka. Dan Subuh merenung mataku mengharapkan sesuatu. Aku faham maksud Subuh. Maaf Subuh, aku tidak menanam pohon Al-lail, jadi aku tidak dapat menghidangkanmu dengan buah yang kau sukai. Tapi aku ada roti Syiyam, cadangku pada Subuh. Subuh menolak dengan hormat. Roti itu, ada tuan punyanya, kata Subuh.

Adakah kau mahu manisan Zikir? Rayuku pada Subuh. Baiklah, ambilkan aku sedikit, serta bawakan aku segelas air mata tangisan, pinta Subuh. Aku agak sugul. Bagaimana harus ku beritahu pada Subuh yang air mata tangisan sudah hampir kekeringan akibat kemarau maksiat yang berpanjangan? Namun, aku tetap menjenguk ke dalam perigi yang memuatkan air mata tersebut. aku terkejut perigi itu hampir separuh penuhnya. Dan aku tedetik dalam hati, adakah ini tanda kemarau akan berakhir? Tanpa berlengah lagi kubawa air tersebut pada Subuh, tetamu yang kusanjung, dan kusuakan manisan yang dipintanya. Selesai menjamah kesemuanya, Subuh pun melirikkan sebuah senyuman.

Subuh berjanji akan datang lagi
Subuh, seruku. Mahukah kau tinggal selamanya denganku? Aku memerlukan teman dalam kesunyian. Akanku layan kau dengan sebaiknya, wahai Subuh. Subuh tersenyum menandakan permintaanku tidak akan terpenuhi. Aku perlu menziarahi ramai orang, dan ramai lagi yang memerlukan kehadiranku untuk mengubati rindu mereka, sepertimana aku menguliti mimpimu. Dan aku akan akur lagi dengan penjelasan Subuh. Subuh, seruku lagi apabila melihat Subuh bersiap untuk pergi. Sudikah kau menziarahi lagi esok hari? Insya-Allah, jawab Subuh. Bukankah aku kekasih yang kau rindui? Subuh berangkat dengan lambat tetapi tetap. Assalamualaikum, seru Subuh. Waalaikumussalam, jawabku kembali.

Dan mataku terus meniti langkah Subuh, yang semakin laju dengan setiap langkah. Dan, akhirnya Subuh hilang daripada pandangan.

Nota kaki : apakah agaknya keluh kesah dari Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak? Jawapannya    tersirat dalam diri…


No comments: