Teman Yang Dikasihi

Saturday, January 14, 2012

PEREMPUAN bagaikan ANGIN


Bismillahirrahmanirrahim...

ayuuhh... mengenali perwatakan kaum hawa. yg fitrahnya adalah punya hati yg sgt lembut dan halus. mudah tersentuh. ada manual utk mengawal. ada metod utk mengubah. (^_____________*) - pesanan utk si suami/bakal/atau yg impikannya...



Perempuan bagaikan angin
Lembutnya melenakan
Ributnya menggusarkan

Adakala mereka seperti ibu
Menyaji kasih menghidang sayang
Adakala mereka seperti anak
Ingin dibelai minta dimanjakan
Adakala mereka seperti nenek
Berleter seadanya, merungut semahunya

Namun, teman kembara dalam kehidupan yang sementara ini
Bahagia dan derita kita sangat berkait dengan mereka

Psst..
Tiba-tiba isteri merajuk
Pandai-pandailah memujuk
Buka telinga, tajamkan pendengaran, amati suaranya, teliti dengan hati yang terseni atau emosi?
Andainya emosi, belailah emosi itu
Jangan cuba dihadapkan secara rasional kerana si dia tak akan terdaya mengunyah hujah
Berilah walau seribu sebab lengkap dengan perangkaan statistik atau dokumen saintifik berserta beberapa affidavit
Dia tetap melulu kerana  fikiran sudah berjerebu.

Dalam situasi ini,
Fikiran telah ditawan perasaan sebaiknya perhaluskan kata,
Perindahkan bahasa dan jinakkan perasaan,
Hadiahkan senyuman.

Masih gagal?
Cuba gunakan sentuhan semarakkan belaian,
Masih gagal juga?
Tunggu saja rajuknya reda
Emosi isteri bagai riak-riak air dalam cawan
Jangan digoncang…buat selamba
Lambat laun, gelombang akan tenang
Air di cawan akan kita minum jua.

Tapi awas…
Kalau ternyata, rajuknya berfakta masamnya berdata,
Geramnya berilmiah marahnya da prima facie,
Ini rajuk taraf tinggi namanya,
Perlu ditangani berhati-hati, kalau ternyata benar, apa salahnya kita terima
Mengaku lalu berjanji serta berikrar, “ Sayang abang tak ulang lagi”
Katakan, “ Sayang…abang alpa”
Bisikkan, “Darling…I lupa”
Hulurkan tangan, pinta kemaafan pendekatan kasanova, tapi hati suci


Rajuk isteri seperti mangga muda
Perisanya masam tetapi…
Kalau kena cicahnya, enaknya akan terasa,
Ingat, api yang panas, dapat dipadam oleh salji yangdingin.

Arghh…
Tiba-tiba isteri merungut
Malah kadang kala agak mengugut
Minta aksesori serta perabot,
Minta villa tersergam indah atau mahligai di lereng bukit
Sedangkan kita bukan Shah Jehan yang mampu membina Taj Mahal membina buat isterinya
Tetapi, isteri pula persis Nur Jehan yang meminta petanda keagungan cintanya.
Katanya “ Seabadi permata…segemerlapan intan”
Sedangkan di tangan kita cuma cincin tembaga.

Aduh…
Peritnya mengukur cinta dalam ukuran mayam atau menimbang setia menerusi bursa saham papan utama kasih isteri,
Turun naik mengikut kadaran tukaran wang asing.

Tiada guna menyesali diri
Diakan dulu pilihan kita?
Semasa mekarnya dia dihargai, dipuja-puja
Dia kini sudah menjadi ibu kepada anak-anak kita
Sudah takdir…permata yang dipilih perlu digilap semula.


Namun
Putus asa jangan sekali
Terimalah dia dengan redha
Justeru isteri pada hakikatnya adalah bayang –bayang suami
Wanita adalah tulang rusuk lelaki yang bengkok
Luruskan dengan berhati-hati
Bertegas tetapi jangan berkeras
Lembut tetapi jangan reput.

Katakan RM bukan segala-galanya
Lalu pada saat yang kudus setelah solat bersama isteri bisikkanlah
“ Duhai isteriku…marilah kita bina perkahwinan ini dengan cinta yang sejati,
cari harta tapi itu bukan segala-galanya
padamu isteri, istanamu di hati ini
padamu sayang, kalung cintamu di jiwa ini”

Puuh…
Akan tiba masanya ‘isteri’ di hati tapi kurang di mata,
Usia meningkat kecantikan tergugat
Dulu kita lihat mulus kini beransur pupus
Betis, tidak lagi bunting padi
Pipi bukan lagi pauh dilayang
Apakah dengan itu akan berkurang cinta kita?

Jika berkurang, nyatalah cinta kita selama ini cinta di mata bretapak di body
Tapi jika cinta tetap kekal malah semakin bertambah ertinya
Cinta kita di hati, berpasak di budi, itulah cinta sejati.

Namun tidak salah di samping menyanjung budi kita merampingkan body
Kalau ada kesempatan ajaklah dia bersenam
Amalkan puasa sunat
Tapi ingat niat kerana Allah bukan kerana ingin kuruskan badan.

Tapi Tuhan Maha Penyayang
Dia pasti membantu isteri yang memburu keredhaan suami
Tak salah kalau memohon kesihatan, kecantikan dan kecergasan
Sama-samalah merampingkan badan
Yang terlebih dikurangkan
Jangan sesekali mencemuh apalagi menjauh
Apa guna membandingkan isteri dengan perawan
Bukan masa lagi merenung dara tapi kini saat menghitung dosa
Lalu ajaklah isteri sama-sama menambah bakti
Moga-moga cinta kita kekal kehujung usia dunia ini
Dan di akhirat nanti, itulah yang dikatakan hidup berdua “selepas” mati pun bersama.

Uhh…
Kekadang isteri mengamuk dengan ombak prasangka dan taufan cemburu

Apa bukti setiamu suami?
Apakah tanda hanya aku di hatimu?
Kekadang disergah kita ketika masih membasah baru menjengah pintu rumah.
Ketika itu nilailah diri,
Mungkin kita berdosa dengan tuhan atau bersalah dengan insan,
Mungkin banyak kezaliman dan penganiayaan yang kita lakukan.

Lalu datang teguran, amaran dan peringatan secara “indirect” dari Tuhan,
Hadapkanlah diri ke cermin hati
Kaji diri satu persatu,
Kalau liar, berhentilah
Kalau berdosa, bertaubatlah.

Sebaliknya jika ternyata isteri yang melulu,
Nasihatlah baik-baik,
Bukan senang nak senang,
Ingatlah mustika kata dalam kitab-kitab tua
‘Suami yang bersabar dengan isteri yang jahat akan mendapat pahala Nabi Ayub’.

Atau ingatlah pesan Saidina Umar Al-Khattab ketika didatangi seorang suami yang dileteri isteri:
“Bersabarlah, kerana sesungguhnya isteri telah banyak membantu kita,
Dia yang menyelamatkan kita daripada amukan nafsu,
Dia yang menjaga makan minum kita,
Dia yang membantu membersihkan rumah kita…
Lalu apa salahnya kita bersabar dengan sedikit kerenahnya?”

Marilah kita sama-sama tabur secubit salji pada segenggam api,
Telah banyak kita dengar cerita keruntuhan, kisah perpisahan
Marilah kita suburkan kembali pohon perkahwinan ini walaupun sudah berdekad-dekad lamanya.

Institusi ini adalh kubu terakhir kita,
Marilah kita pertahankan bersama si dia,
Si diaku, si diamu
Cinta kita jangan mati dalam arus dunia siber,
Biar setia kita makin waja.

Biarlah skrin-skrin internet atau intranet memaparkan yang indah-indah pantulan seri rumah tangga kita,
Bicara ini diakhiri dengan satu coretan yang mungkin boleh diguriskan pada kad lahir isteri atau kad ulang tahun perkahwinan atau surat biru yang ingin kau utuskan kepadanya…
Atau kaupahatkan saja dalam hatimu pada malam nanti:
“Aku hanya seorang suami yang menerima setulus hati seorang isteri,
janji yang termetrai di akad nikah kita musim yang lalu”.

Salam kuhulur buat menyapa hatimu yang nan luhur,
Bersamalah kita harungi derita yang datang,
Bersatulah kita harungi derita yang datang,
Bersatulah kita tempuhi nikmat yang bertandang.

Denai perkahwinan pasti dihujani denai air mata,
Biar kita rasa; rupanya syurga itu sangat tinggi maharnya.”

Isteri…
Tidak kutagih setia, sesetia hawa,
Atau kerinduan menggila Laila yang sangat mendalam.

Terimalah kehadiranku di sudut tersuci di dalam hatimu…seorang isteri.
Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Imam Bazzar,
Nabi sallalahu alaihi wassalam bersabda:
“Kamu sampaikan kepada perempuan yang kamu jumpa,
bahawa taat kepada suami dan mengakui hak-hak suami,
sama pahalanya dengan berperang dan bertempur dengan musuh-musuh Islam di medan pertempuran,
tetapi sedikit sangat daripada isteri-isteri yang menyempurnakan hak-hak suami mereka.”

nota kaki: suami, jgn diimpi isteri yg seindah Zulaikha andai diri tidak setampan Yusof. Jgn diharap isteri seteguh Siti Khadijah, andai dirimu tidak sehebat Nabi Muhammad. terimalah seaadanya.